Sunday, October 3, 2010

Jangan Ragu Kualiti Pengajian di UIAM

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 5 Jun – Orang ramai tidak harus meragui kualiti pembelajaran dan pengajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) walaupun ia tidak disenaraikan dalam kedudukan universiti terbaik dunia sebelum ini.


Reaktornya, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, ketiadaan dalam senarai itu berikutan keputusan pihaknya sebelum ini untuk tidak mendaftar UIAM bagi dinilai oleh pihak yang menyediakan ranking berkenaan.


”Tumpuan UIAM yang ditubuhkan pada 1983 ialah menjadi universiti terbaik di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan bukan menyenarainya dalam ranking universiti terbaik Asia, Eropah atau dunia,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Pameran dan Persidangan Zon Perniagaan dan Pelaburan Muslim World Biz 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Syed Arabi membentangkan kertas kerja bertajuk Peralihan dan Transformasi Dalam Pendidikan: Kajian Kes UIAM pada pameran dan persidangan itu yang dianjurkan oleh OIC International Business Centre Sdn. Bhd.


Beliau menjelaskan, hanya pada tahun ini pihaknya membuat keputusan untuk memasukkan nama UIAM di dalam Ranking Universiti Asia QS 2010 dan universiti itu telah ditempatkan pada kedudukan ke-159.


Dalam perkembangan berkaitan, katanya, UIAM sedang melakukan transformasi terhadap kaedah pengajaran dan pembelajarannya supaya lebih berteraskan kepada penyelidikan.


”Di kalangan universiti di 57 negara OIC, UIAM adalah antara yang terawal beralih untuk menjadi universiti penyelidikan dan kita berharap ia akan menjadi ikutan,” katanya.


Mengenai perancangan pada masa depan, beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan bidang pengajian berkaitan pertanian.


Sementara itu, beliau berkata, antara kejayaan yang telah dicapai oleh UIAM ialah bagi melahirkan pemimpin yang kini menerajui sektor awam dan swasta di negara-negara OIC.


”Antaranya ialah Menteri Luar Turki, Profesor Ahmet Davutoglu yang merupakan bekas kakitangan UIAM manakala Gabenor Bank Pusat Gambia, Momodou Bamba Saho adalah siswazah UIAM,” ujarnya.’